PETALING JAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil menjelaskan bahawa sebagai pembangkang, Perikatan Nasional (PN) sepatutnya melakukan ‘semak dan imbang’ ekonomi ketika ini.
Sebaliknya apa berlaku ketika ini katanya, PN langsung tidak memikirkan soal ekonomi, malah mereka hanya memikirkan cara bagaimana untuk menukar kerajaan.
Dakwa Ketua Penerangan UMNO itu lagi, PN juga ketandusan idea untuk menegur soal ekonomi.
“Dia (PN) sepatutnya jadi semak imbang daripada segi ekonomi. Tetapi saya nak tanya, ada PN semak imbang pasal ekonomi ini? Tidak ada sebab mereka pun tak tahu apa nak buat.
“PN sekarang dia tak semak imbang pasal ekonomi mungkin dia tak tahu apa benda nak buat. Kedua, dia (PN) bukan sibuk nak semak imbang, tetapi sibuk nak tukar kerajaan,” katanya dalam satu siaran langsung di media sosial.
Mengulas lanjut, Isham mendakwa, PN ketika ini mahu tukar kerajaan kerana mereka bimbang tentang pendakwaan yang bakal akan dihadapi.
“Jadi kalau saya tidak tegur pasal ekonomi siapa lagi nak tegur?,” soalnya.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan tidak bercadang untuk campur tangan segera dalam krisis kejatuhan pasaran modal dan ringgit ketika ini.
Jelas beliau, tiada sebarang perbincangan dibuat oleh kerajaan untuk terbabit secara terus dalam mengimbangi kejatuhan pasaran modal dan ringgit yang mencetuskan kebimbangan banyak pihak pada masa ini.-KOSMO! ONLINE