MELAKA – Semua agensi kerajaan negeri diarah menyelesaikan aduan rakyat yang dibuat pada program Hari Bertemu Rakyat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini dalam tempoh dua minggu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, walaupun tidak semua masalah yang dikemukakan dapat diselesaikan segera, namun selepas tempoh itu pengadu akan mendapat maklum balas tentang aduan mereka.
“Penyelesaian ada dua, satu boleh diselesaikan dan satu tidak boleh diselesaikan, tetapi mereka tetap mendapat keputusan selepas dua minggu secara bertulis.
“Saya lihat harapan rakyat Melaka datang ke sini (Hari Bertemu Rakyat) begitu tinggi kerana ada antara mereka yang telah cuba berkali-kali buat temu janji dengan wakil rakyat tetapi tak dapat.
“Saya berada di kaunter mendengar sendiri masalah rakyat, mendapati memang harapan mereka sangat tinggi agar masalah yang dikemukakan dapat diselesaikan segera,” katanya ketika ditemui pemberita.
Program julung kali diadakan itu melibatkan 67 agensi serta dihadiri semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan timbalan yang membuka kaunter bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Tambah Ab. Rauf, program yang akan diadakan setiap bulan itu adalah usaha untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang dinamik dan progresif terutama dalam menyelesaikan masalah rakyat dengan kadar segera. – KOSMO! ONLINE