ALOR SETAR – Jaringan tiga pemain import pada separuh masa pertama membawa Kedah layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini dengan menewaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan pertama mereka di Stadium Darul Aman di sini malam ini.
Seawal minit ke-6, Kedah mula menunjukkan kesungguhan untuk meraih kemenangan dengan melakukan serangan awal, namun Tchetche Kipre gagal memanfaatkan peluang apabila sekadar melakukan tolakan lemah yang mudah diselamatkan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias dalam keadaan satu lawan satu.
Jaringan pertama Kedah bagaimanapun hadir pada minit ke-17 apabila pemain pertahanan, Muhammad Shakir Hamzah menanduk kencang bola sepakan sudut kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias.
Rentak cemerlang Kedah berterusan dengan Kpah Sherman bijak memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol kedua tuan rumah, juga menerusi tandukan hasil hantaran lintang Kipre pada minit ke-35.
Dua minit sebelum separuh masa pertama berakhir, Kipre kemudiannya mengambil giliran mencetak nama selaku penjaring dengan rembatan kencang dari dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan Helmi Eliza, biar pun penjaga gol Pahang itu berusaha melayangkan badannya.
Bersambung ke babak kedua perlawanan, Pahang jelas menunjukkan tanda untuk bangkit dengan melakukan beberapa siri serangan dan meningkatkan tempo perlawanan.
Hasilnya mereka berjaya menembusi gawang Kedah buat kali pertama menerusi tandukan bekas pemain kebangsaan, Muslim Ahmad pada minit ke-49.
Penyerang utama Tok Gajah, Dickson Nwakaeme kemudiannya mensia-siakan peluang paling berharga buat Pahang menambah jaringan apabila sepakan penalti diambilnya pada minit ke-78, sekadar singgah ke palang.
Namun Pahang tetap berjaya merapatkan kedudukan menerusi pemain gantian, Mohd. Faizal Abdul Rani yang bijak melepasi perangkap ‘offside’ bagi meledak gol kedua Tok Gajah, dua minit sebelum perlawanan berakhir. – K! ONLINE