KANGAR – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menolak permohonan reman daripada polis terhadap seorang pendakwah bebas kerana disyaki menggunakan gelaran datuk yang tidak diiktiraf.
Majistret Siti Nur Haliza Md. Ali membuat keputusan itu selepas permohonan tersebut dibacakan pegawai penyiasat di Mahkamah Majistret, di sini.
Pendakwah bebas berasal dari Kodiang, Kedah yang diwakili peguam, Nur Iman Nor Azmi dan tiga lagi peguam tiba di kompleks mahkamah pada pukul 9.30 pagi tadi dengan menaiki kenderaan polis.
Menurut Nur Iman, mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendengar permohonan barisan peguam menyatakan bahawa anak guamnya akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan polis.
“Anak guam saya menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama penuh dalam siasatan dan bersedia dipanggil pada bila-bila masa oleh pasukan penguat kuasa dan dilepaskan dengan jaminan polis.
“Kes masih lagi dalam siasatan dan untuk ke hadapan, kita akan berbincang dengan anak guam berhubung langkah seterusnya,” katanya.
Difahamkan individu terbabit ditahan selepas hadir memberi keterangan di Balai Polis Kuala Perlis, dekat sini pada pukul 1 tengah hari semalam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin mengesahkan mengenai penahanan suspek.
“Pada 1 Mei lalu, polis menerima laporan mengenai seorang pemilik akaun Facebook yang mempunyai seramai 306,000 pengikut.
“Berdasarkan pada hantaran tersebut, suspek disyaki menggunakan gelaran dan anugerah datuk pada profil akaun page beliau dan pada paparan poster tertera nama beliau yang menggunakan gelaran datuk,” katanya. – KOSMO! ONLINE