LONDON – Arsenal akhirnya berjaya mendapatkan persetujuan untuk menandatangani penyerang Chelsea, Kai Havertz dengan yuran perpindahan bernilai £65 juta (RM385.82 juta) berserta gaji £210,000 (RM1.24 juta) seminggu.
Kedua-dua pihak mencapai kata sepakat berhubung syarat dan terma peribadi yang bakal menyaksikan The Gunners membayar Chelsea sebanyak £62 juta (RM368.01 juta) dengan tambahan bonus £3 juta (RM17.81 juta).
Ia bermakna Havertz, 24, menjadi pembelian kedua termahal Arsenal selepas kelab itu pernah membelanjakan hampir £72 juta (RM427.37 juta) mendapatkan penyerang Ivory Coast, Nicolas Pepe daripada Lille pada 2019.
Malangnya, Pepe yang lebih banyak beroperasi di bahagian sayap, gagal menghasilkan impak hebat apabila sekadar meledak 27 gol dalam tiga musimnya di Stadium Emirates dan menyebabkannya dihantar ke Nice secara pinjaman musim ini.
Bagaimanapun, situasi kali ini berbeza kerana Havertz dilihat lebih sesuai dengan falsafah permainan diterapkan The Gunners dan mampu menyinar di bawah tunjuk ajar pengurus hebat kelab itu, Mikel Arteta.
Sebagai rekod, Chelsea sebelum ini terpaksa membayar sebanyak £71 juta (RM421.43 juta) kepada Bayer Leverkusen untuk membawa Havertz ke Chelsea dengan kontrak lima tahun pada 2020.
Musim pertamanya bersama The Blues menyaksikan bintang Jerman itu berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas meledak gol kemenangan menewaskan Manchester City 1-0 pada aksi final edisi 2021. – AGENSI