KUALA SELANGOR – Seorang lelaki yang memperdaya dua wanita warga emas dan melarikan barangan kemas selepas menyamar sebagai ‘wakil’ menteri, minggu lalu direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, suspek tempatan berusia 30 tahun itu diberkas pihaknya di sebuah rumah di daerah ini, kira-kira pukul 4 petang semalam.
Katanya, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Alza, dua gelang tangan, tiga cincin dan sekeping resit pajak gadai atas nama suspek.
“Siasatan mendapati dua mangsa mengalami kerugian berjumlah RM8,100 dan terdapat tiga laporan polis dibuat berkaitan taktik sama.
“Lelaki yang tiada rekod jenayah lampau itu direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua ibu tunggal warga emas kerugian selepas mendakwa diperdaya seorang lelaki yang melarikan barang kemas mereka dengan menyamar sebagai ‘orang’ menteri pada 16 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE