KUALA LUMPUR – Kira-kira 40,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN), di enam buah negeri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia melibatkan anggota dan pegawai di negeri terlibat serta bantuan dari negeri-negeri lain yang tidak terlibat.
Jelasnya, penempatan anggota tersebut adalah untuk memastikan keadaan keselamatan dalam negara terjaga terutamanya di negeri yang terlibat PRN.
“Pihak polis akan tampil dalam keadaan siap siaga bagi memastikan bahawa semua undang-undang itu dapat berjalan dengan baik serta aspek pelanggaran.
“Ini penting sebab rakyat akan diberi peluang untuk memilih tanpa perlu rasa takut untuk keluar rumah. Ini adalah fokus utama pasukan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Majlis tersebut menyaksikan Tan Sri Razarudin Husain kini secara rasminya memegang jawatan Ketua Polis Negara, manakala Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara. – KOSMO! ONLINE