fbpx

Bukan lesap lepas dapat RM55,000, lelaki mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Carliff menunjukkan bukti pembayaran kos rawatan ahli keluarganya yang terlibat dalam kemalangan Sabtu lalu hasil dana awam yang diterima.

PETALING JAYA – Seorang anak kepada mangsa kemalangan yang berlaku di Kilometer 301.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Sabtu lalu, tampil menjelaskan sebab ‘kehilangannya’ selepas memperolehi dana awam berjumlah RM55,000.

Carliff Haikal menerusi beberapa ciapan di Twitternya semalam, menjawab segala persoalan yang dilontarkan orang ramai.

“Pertama sekali, saya memohon ampun kerana apa yang berlaku, saya mengakui bahawa saya alami keadaan kecemasan yang sangat teruk. Saya sedang mencuba menyelamatkan satu-satunya ibu saya dan keluarga,” ciapnya.

Terdahulu, Carliff pada 18 Jun 2023, telah memuat naik ciapan memohon ihsan orang ramai untuk menyumbang bagi menampung perbelanjaan rawatan hospital buat ahli keluarganya yang terlibat dalam kemalangan.

Kemalangan tersebut telah mengorbankan salah seorang adik-beradiknya, manakala ibu serta beberapa adik-beradik lain mengalami cedera parah apabila kereta yang dinaiki kesemua mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler.

Bercerita lanjut, Carliff memberitahu jumlah kutipan daripada orang ramai adalah RM25,000, manakala selebihnya iaitu RM30,000 merupakan sumbangan oleh ibu saudaranya yang menetap di Texas, Amerika Syarikat.

Katanya, sumbangan tersebut akan digunakan sepenuhnya bagi menampung kos rawatan ahli keluarganya dan dia turut berterima kasih kepada para penderma yang ikhlas membantu.

“Duit kutipan derma untuk apa? Untuk kes yang lebih serius. Ibu lumpuh separuh badan manakala abang cedera di bahagian kepala. Semua dana akan digunakan untuk rawatan dan perubatan sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, Carliff juga menjawab kepada pertanyaan ramai yang mempersoalkan kenapa dia menghantar ibunya ke hospital swasta sedangkan hospital kerajaan jauh lebih murah kos pembiayaannya.

“Ibu tidak berpeluang dapatkan katil di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Teluk Intan. Saya sebagai anak, tidak sama sekali selesa melihat keadaan ibu ditempatkan di kawasan yang tidak sepatutnya dan inginkan yang terbaik untuk ibu yang satu.

“Makluman awal, mengatakan ibu dapat perlindungan insurans sepenuhnya di swasta di bawah MiCare. Akan tetapi, lepas penyemakan dibuat, insurans ibu hanya diluluskan RM42,000, bukan sepenuhnya.

“Terduduk seketika, tetapi saya cuba yang terbaik untuk keselesaannya, Kiraan untuk pantai (hospital swasta) RM200,000 tak termasuk harga selepas pembedahan, rawatan susulan dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, pada mulanya dia sendiri yang bersungguh-sungguh untuk menghantar ibunya ke hospital swasta di Ipoh kerana beranggapan pihak insurans akan menampung keseluruhan kos rawatan.

Namun, hanya sebahagian kecil jumlah rawatan berjaya diluluskan.

Sementara itu, Carliff meminta orang ramai untuk kekal bertenang dan segala urusan keluar wang sumbangan akan dikongsikan di Twitternya supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

Jelasnya, setakat hari ini, sebanyak RM650 telah digunakan daripada wang sumbangan tersebut bagi tujuan membiayai kos rawatan adiknya yang berusia 10 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI