KUALA LUMPUR – Tidak sedia ‘menelanjanjangkan’ kelemahan kepada umum, Baggio kekal dengan keputusan enggan menerima tawaran menyertai program pertandingan realiti biarpun telah beberapa kali dipelawa.
Kata vokalis Damasutra itu, kepercayaannya adalah dengan berkarya, bukan memasuki apa-apa program dalam bentuk realiti yang boleh mencela intergriti.
“Sebenarnya, sejak dulu lagi saya telah banyak kali ditawarkan menyertai program seumpama ini yang tentu saja dikatakan mempunyai banyak potensi, lebih-lebih lagi buat ‘orang lama’
“Tetapi saya tiada masa dan merasakan saya tidak layak untuk berada dalam rancangan sebegitu kerana hadir dengan risiko yang akan menelanjangkan kelemahan saya.
“Jadi saya lebih memilih untuk ‘playsafe’ bagi terus kekal relavan. Bukan takut kecaman, sebaliknya saya selesa hidup dan menjalani kerjaya ini dengan tenang,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut Baggio atau Bahagia Daharun, 52, dia percaya kualiti untuk penghasilan sesebuah karya juga mampu meletakkan seseorang artis itu pada tahap berbeza walau sudah berusia.
Ulasnya, penolakan yang dibuat tiada kena mengena dengan ego, sebaliknya fokus kini lebih kepada memantapkan karier bersama projek sedia ada terutama tawaran pentas dan terkini konsert Damasutra.
“Nyanyian saya masih lagi mempunyai permintaan, begitu juga dengan hasil projek solo membabitkan promosi lagu baharu saya di Youtube.
“Walaupun saya nampak tak aktif bersama Damasutra, saya sentiasa berkarya dan memenuhi persembahan di majlis tertutup atau korporat.
“Apabila Damasutra kembali aktif selepas berehat panjang, tentu saja misi saya lebih rancak, tambahan pula dengan perancangan konsert ulang tahun ke 33 kami yang direncanakan sejak setahun lalu,” katanya.
Sementara itu, mengenai Konsert Anniversari ke-33 Damasutra ‘The Journey’, Baggio teruja tampil bersama rakan seperjuangan lain meraikan hari besar mereka dengan peminat.
Bakal berlangsung di Zepp KL pada 27 Oktober nanti, tiket pada harga RM188 (Rock Zone), RM258 (Silver) RM350 (Gold) dan RM3,000 (VIP Box) kini dijual menerusi dibeli menerusi laman www.ubertickets.my -KOSMO! ONLINE