KUALA LUMPUR – Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut digilis sebuah lori selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam satu kemalangan di Jalan Kuching di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.20 petang ketika mangsa, Mohd. Husaini Mohd. Nasir, 28, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Subang dari arah Selayang.
“Ketika melalui Jalan Kuching, mangsa yang berada di laluan paling kiri telah terlanggar lopak air yang mengakibatkan motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan memasuki lorong pertama.
“Mangsa kemudiannya telah digilis oleh sebuah lori yang hanya menyedari kejadian itu selepas terasa seperti telah melanggar sesuatu.
Menurut Zulkefly, pemandu lori berkenaan kemudiannya turun dari lori untuk memeriksa kenderaannya dan terlihat mangsa telah tertiarap di atas jalan.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada kepala disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa seterusnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegas beliau.-K!ONLINE