BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan selepas menang ke atas wakil tuan rumah, Lee Fang Chih-Sun Wen Pei semalam.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Tian-Mu Arena itu, Pang Ron-Mei Xing hanya memerlukan masa 21 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-11 ke atas beregu Taiwan itu.
Walaupun berpuas hati dengan kemenangan tersebut, namun Mei Xing enggan terlalu selesan memandangkan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum turun ke pusingan kedua yang dijadualkan pada pukul 12.10 tengah hari ini.
“Kami berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan pada hari ini (semalam). Sudah tentu masih ada kesilapan-kesilapan mudah yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan akan datang.
“Apa yang pasti, kami akan cuba lakukan yang terbaik dan cuba mengatasi masalah ini apabila turun di pusingan kedua nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menjelang pusingan kedua hari ini, beregu No.41 dunia itu akan berdepan cabaran gandingan Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Lee Yu Lim yang menewaskan rakan senegara, Wang Chan-Shin Seung Chan 21-14, 21-15.
Walaupun berada di ranking lebih tinggi berbanding Young Hyuk-Yu Lim, namun Mei Xing enggan memandang rendah keupayaan lawan selain mahu memastikan mental dan fizikal berada dalam keadaan terbaik.
“Kami tak fikir banyak kerana Korea memang kuat, jadi kami perlu sediakan mental dan fizikal untuk berdepan mereka esok (hari ini). Apa yang penting adalah fokus untuk keluarkan permainan sendiri,” ujarnya.
Turut melangkah ke pusingan kedua adalah satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas pilihan keempat kejohanan itu menewaskan pasangan Algeria, Koceila Mammeri-Tanina Violette Mammeri 21-12, 21-11. – KOSMO! ONLINE