SUNGAI PETANI – Ketua Geng Mizan yang menjadi buruan polis sejak Mei lalu kerana disyaki terlibat dalam jenayah pecah rumah dan premis akhirnya berjaya dicekup malam semalam.
Suspek berusia 42 tahun dan berasal dari Taman Permaipura, Bedong dekat sini dicekup sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Medan Selera RTC, Simpang Pulai di Gopeng, Perak pada pukul 7.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, sindiket itu berjaya dikesan susulan laporan kejadian pecah masuk sebuah premis perniagaan di Bedong, di sini pada 20 Mei lalu melibatkan kerugian RM25,000.
“Kejayaan bermula apabila tiga lelaki tempatan dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun berjaya ditahan dan menemui pelbagai barangan hasil jenayah mereka termasuk merampas dua peket plastik berisi dadah jenis methamphetamine serta sebuah kereta jenis Proton Perdana.
“Hasil operasi berterusan, pihak kita berjaya menahan tiga lagi ahli geng berkenaan berusia antara 43 hingga 52 tahun serta menemui semula
sebuah peti besi disyaki hasil jenayah pecah Istana Hinggap Taman Tunku Sarina di Jitra,” katanya di sini hari ini.
Kata Zaidy, suspek mempunyai 12 kes jenayah serta dua rekod kesalahan dadah dan suspek kini dalam tahanan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE