SEREMBAN – Semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan diarah untuk memulangkan semula kenderaan rasmi masing-masing selepas hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun bagi yang mahu menggunakan kenderaan berkenaan untuk tujuan rasmi adalah dibenarkan untuk berbuat demikian memandangkan mereka masih menjalankan tugas sebagai caretaker government (kerajaan sementara).
“Kami masih ‘caretaker’ bagi kerajaan negeri yang menjalankan tugas rasmi dan Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri. Kami telah berbincang tadi, jika diikutkan kami boleh menggunakan kenderaan tersebut sehingga hari terakhir.
“Cuma dalam kempen kita kena mengelakkan kenderaan rasmi digunakan itu sahaja kalau boleh elakkan walaupun ia tidak menjadi kesalahan. Ini termasuk bagi mana-mana Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri yang tidak lagi menjadi calon,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada pukul 10 pagi 28 Jun ini di Istana Hinggap di sini bagi mendapatkan perkenan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE