PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki negara membuka kempen siri jelajah Korea Selatan dengan keputusan seri 2-2 ke atas pasukan negara itu di Pusat Latihan Nasional Jingcheon sebentar tadi.
Biarpun seri tetapi ketua jurulatihnya, A. Arul Selvaraj tetap gembira menyaksikan persembahan ditampilkan anak-anak buahnya yang dilihat berjaya menyesuaikan diri dengan struktur permainan baharu.
Menurutnya, para pemain berjaya mengawal permainan dan mengambil peluang terhidang untuk menjaringkan dua gol padang menerusi Muhammad Firhan Ashari pada minit ketiga dan 19.
“Mereka dapat mengawal situasi-situasi dalam padang walaupun kita turun bermain dengan struktur baharu. Boleh nampak kematangan dan keyakinan pemain daripada segi membina permainan dan menekan pihak lawan.
“Kita juga mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol dan berjaya mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah dalam perlawanan ini.
“Esok kita akan membuat penilaian individu dan mengkaji semula kelemahan yang boleh ditingkatkan untuk aksi kedua menentang Korea Selatan pada Jumaat ini,” kata Arul selepas tamat perlawanan sebentar tadi.
Hasrat Speedy Tigers untuk merakam kemenangan pertama tidak kesampaian apabila Korea Selatan bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi dua gol daripada pukulan sudut penalti dan penalti stroke masing-masing pada minit ke-22 serta 29.
Keputusan seri itu boleh dilihat sebagai petanda positif buat skuad negara kerana Korea Selatan berada satu anak tangga di atas Malaysia iaitu No.9 dunia.
Selain itu, Korea Selatan yang berjaya mara sehingga ke suku akhir Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India, juga antara pencabar utama negara dalam memburu pingat emas Sukan Asia Hangzhou di China pada September depan.
Speedy Tigers yang kini tersenarai dalam program Road To Gold (RTG), akan turun perlawanan kedua menentang Korea Selatan pada Jumaat ini sebelum melengkapkan siri jelajah dalam dua aksi seterusnya pada 25 dan 27 Jun ini. – KOSMO! ONLINE