BACHOK – Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Muhammad Syahril Saidi,18, yang memperoleh keputusan 11A walaupun menjaga arwah ibunya yang terlantar sakit lulus ujian lesen motosikal kelas B2 di Akademi Memandu Amkist (Amkist) Kampung Kandis di sini hari ini.
Pengarah Urusan Amkist, Noor Haslina Abdullah berkata, Muhammad Syahril menduduki ujian memandu motosikal dalam tempoh satu jam bermula pukul 11 pagi tadi.
“Ujian amali lesen B2 dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya dijalankan pada 11 Jun lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana ibunya meninggal dunia. Ujian semula ditetapkan pada hari ini dan Muhammad Syahril lulus dalam ujian tersebut.
“Selepas ini, Muhammad Syahril perlu belajar selama 14 jam belajar bagi menduduki ujian amali JPJ untuk lesen kereta kelas D,” katanya ketika ditemui di AmKist di sini hari ini.
Sementara itu, Muhammad Syahril ketika ditemui menyatakan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu untuk mendapatkan lesen memandu.- KOSMO! ONLINE