fbpx

Ayda Jebat, Nabil nikah 1.1.2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayda dan Nabil mengikat tali pertunangan pada April lalu.

PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat memilih tarikh 1 Januari 2021 untuk me­langsungkan pernikahan bersama tunangnya yang juga pe­ngacara, Nabil Mahir.

Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 28, mengumumkan tarikh perkahwinannya itu menerusi video yang dimuat naik dalam saluran YouTube kendalian mereka, Wuvv Show pada pukul 9 malam tadi.

Ujar pelantun lagu Temberang itu, dia dan nabil, 32, mempunyai alasan lucu dalam memilih tarikh istimewa tersebut.

“Alasan ini agak kelakar sebenarnya. Ada beberapa tarikh yang dibincangkan seperti 20 Disember, bulan ini (November) pun ada dalam senarai, tetapi kami sepakat memilih 1 Januari kerana saya sukar untuk mengingati tarikh.

“Sejujurnya, saya seorang yang mudah lupa lebih-lebih lagi melibatkan nombor. Maka, tarikh tahun baharu ini dirasakan pa­ling senang untuk diingati,” katanya.

Menurut Ayda, tarikh tersebut merupakan hari cuti umum sekali gus dapat diraikan bersama ahli keluarganya pada hari cuti selepas ini.

Nabil mengakui dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami kepada Ayda Jebat.

Sementara itu, Nabil, 32, ketika dihubungi Kosmo! semalam turut mengesahkan berita gembira tersebut dan mengakui dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami.

“Alhamdullilah, persiapan sudah 80 peratus siap. Kami akan bernikah pada sebelah pagi (1 Januari 2021) manakala pada malam pula akan berlangsung majlis resepsi.

“Insya-Allah saya sudah cukup bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami dan sentiasa menyokong apa sahaja perjalanan seni Ayda apabila kami sah sebagai suami isteri,” tuturnya.

Dalam pada itu, Ayda turut meluahkan rasa bimbang de­ngan situasi semasa Covid-19 sekiranya tarikh pernikahan itu nanti jatuh semasa Perintah Kawalan Perge­rakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

“Risau juga kerana ibu saya berada di Melaka dan tidak boleh merentas negeri.

“Malah ramai ahli keluarga mungkin tidak dapat datang. Maj­lis resepsi sebelah pengantin lelaki diadakan di luar Kuala Lumpur..

“Apa-apa pun, tarikh nikah tetap berjalan seperti yang telah dirancang,” katanya yang akan menjemput tidak lebih 150 tetamu pada majlis tersebut.

Terdahulu, Nabil yang merupakan bekas pengacara program HLive mengikat tali pertunangan dengan pelakon drama Cindai pada 28 April lalu secara dalam talian pada April lalu.

Bermula malam tadi, kisah percintaan Ayda dan Nabil me­nemui penonton menerusi saluran YouTube Wuvv sebanyak ­10 episod.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI