fbpx

Guna aplikasi Setel untuk memohon kredit eBeliaRahmah bernilai RM200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Setel telah dilantik oleh  Kementerian Kewangan  sebagai salah satu penyedia perkhidmatan e-Dompet untuk program eBeliaRahmah, bagi menyokong usaha kerajaan untuk meringankan beban kewangan serta membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia.

Mulai 26 Jun hingga 31 Ogos 2023, belia Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar
Malaysia sepenuh masa yang berdaftar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia layak menuntut kredit eBeliaRahmah RM200 secara one-off melalui aplikasi Setel.

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyokong program eBeliaRahmah, selari dengan tujuan syarikat untuk memupuk budaya masyarakat tanpa tunai dan mempromosikan transaksi kewangan yang lebih selamat dan efisien.

Diperkasa dengan penerimaan di lebih 1.6 juta kedai runcit di seluruh negara dan di rangkaian stesen minyak terbesar  yang merangkumi lebih 1,000 stesen Petronas di seluruh negara, belia yang layak, boleh memohon eBeliaRahmah melalui aplikasi Setel,  boleh membeli-belah di kedai runcit yang memaparkan kod QR Setel, DuitNow  dan di mana- mana stesen minyak tersebut.

“Setel berharap dapat membantu meringankan beban kewangan belia melalui insentif tambahan kami dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi bagi perniagaan tempatan dan menyokong peralihan mereka ke arah pembayaran tanpa tunai dengan lancar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Untuk memohon RM200 kredit e-tunai mulai 26 Jun 2023, belia yang layak perlu memuat turun atau mengemas kini kepada versi terkini aplikasi Setel dan melengkapkan pengesahan akaun melalui e-KYC.

Insentif ini akan dikreditkan ke Dompet eBeliaRahmah pengguna dalam aplikasi selepas permohonan berjaya dan akan dimaklumkan melalui notifikasi semerta dan mesej peti masuk aplikasi.

Insentif ini boleh digunakan untuk pembelian di mana-mana kedai runcit yang menerima kod QR Setel dan DuitNow, dan di stesen Petronas di seluruh negara.

Insentif eBeliaRahmah perlu digunakan sebelum 31 Ogos 2023 dan tidak boleh dipindahkan ke akaun
e-Dompet lain. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI