PENJARING empat gol ketika Harimau Malaya membelasah Papua New Guinea 10-0, Arif Aiman Hanapi tetap merendah diri dengan prestasi bersama pasukan kebangsaan.
Arif Aiman enggan dianggap wira meskipun kemasukannya pada separuh masa kedua mengubah rentak permainan Malaysia yang sebelum itu dilihat agak tumpul pada babak pertama.
Sebaliknya, pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tersebut menjelaskan, ‘resipi’ rahsia aksi cemerlang adalah kerjasama berpasukan semua pemain Harimau Malaya.
“Sudah tentu saya sangat berbangga dapat jaringkan empat gol dalam perlawanan ini, namun kredit patut diberikan terhadap rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu.
“Memang babak pertama nampak sedikit bergelut di depan pintu gol tetapi semua pemain beraksi dengan baik, Alhamdulillah nasib memihak kami selepas rehat,” katanya selepas perlawanan kelmarin.
Arif Aiman mengharungi tahun cemerlang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) di puncak Liga Super selain membentuk gandingan mantap bersama Faisal Abdul Halim dalam kem negara.
Pemain berusia 21 tahun itu membuka akaun jaringan bersama Harimau Malaya ketika mengalahkan Kepulauan Solomon 4-1 minggu lalu, sebelum meledak empat gol kelmarin.
Arif Aiman berkata, beliau mahu terus membaiki aspek kelemahan bagi merebut tempat sebagai persediaan ke Piala Asia di Qatar pada Januari tahun depan.
Tambahnya, beliau bertekad mahu menempatkan diri dalam skuad ke Piala Asia di samping terus cemerlang bersama JDT dalam baki saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia.
“Tiada sebab untuk saya sudah berpuas hati dengan pencapaian ketika ini kerana bukan mudah kekal dalam perancangan jurulatih dengan barisan pemain lebih berpengalaman.
“Selepas ini fokus akan diberikan untuk separuh akhir Piala FA bertemu Selangor pada Isnin ini dan saya mahu menang perlawanan itu bagi melangkah ke final,” tambahnya.