BATU GAJAH – Tindakan penternak yang melepaskan lembu-lembu dari kawasan ladang berpagar sehingga enam jam lamanya membuka ruang kepada penjenayah untuk mencuri haiwan ternakan itu.
Menurut seorang penternak, Mohd. Zain Zainal Abidin, 47, rata-rata penternak di daerah ini akan melepaskan lembu peliharaan masing-masing dari kawasan ladang yang berpagar untuk meragut di tempat lain kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Biasanya ternakan ini dilepaskan sehingga tiga atau empat kilometer jauhnya dari kawasan ladang berpagar dan akan menghambatnya pulang kembali sekitar pukul 6 petang.
“Dalam tempoh waktu berkenaan, pelbagai perkara boleh berlaku melibatkan haiwan ternakan masing-masing termasuklah ia dicuri,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, sudah menjadi kelaziman sekiranya terdapat beberapa ekor lembu berkenaan gagal dikesan sewaktu dihambat pulang pada waktu petang.
“Penternak biasanya akan mencari sehingga lewat malam haiwan berkenaan yang ada kalanya berada tidak jauh dari kawasan ragut seperti di kawasan taman atau kampung berdekatan.
“Ada juga lembu-lembu berkenaan yang pulang lebih awal ke kandang masing-masing. Disebabkan itu ada dalam kalangan penternak tidak berasa risau sekiranya haiwan itu gagal dikesan pada waktu petang,” katanya.
Seorang lagi penternak, K. Murugan, 36, berkata, mereka biasanya akan menunggu lembu-lembu yang hilang sehingga tiga atau empat hari sebelum melaporkan kehilangan berkenaan kepada pihak berkuasa.
Ini kerana, katanya, haiwan ternakan tersebut biasanya akan pulang dalam tempoh waktu berkenaan sekiranya ia gagal ditemui pada hari ia dilepaskan dari kandang.
Jelasnya, ia juga sukar bagi penternak untuk mengesan ternakan ketika dihambat pulang kerana ada dalam kalangan mereka membela antara 20 hingga 100 ekor haiwan.