fbpx

Dua lelaki ditahan, belasah pekerja kedai serbaneka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mangsa yang merupakan pekerja sebuah kedai serbaneka 24 jam cedera akibat ditumbuk oleh salah seorang suspek.

KAJANG – Dua lelaki diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam insiden memukul seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam di sebuah premis sekitar Bandar Rinching, Semenyih dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, kedua-dua lelaki tersebut mahu membeli minuman pada mulanya namun salah seorang suspek mengambil tiga batang payung tanpa ingin membuat sebarang pembayaran.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, berlaku pertengkaran mulut antara mereka kerana suspek berang ditegur sebelum bertindak menumbuk muka mangsa.

Menurutnya, selepas kejadian tersebut, suspek beredar meninggalkan premis dan mangsa mendapatkan rawatan di hospital serta membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Bertindak atas maklumat, pada pukul 11.30 hingga 12.30 tengah hari tadi, pihak Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menangkap dua lelaki berusia 31 dan 32 tahun di dua kawasan berbeza iaitu di Seremban, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor.

“Turut dirampas dua buah telefon bimbit bagi membantu siasatan. Hasil pemeriksaan lanjut suspek masing-masing mempunyai satu rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Semalam, tular di media sosial beberapa klip rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan dua individu lelaki terlibat dalam insiden memukul pekerja terbabit.

Selain rakaman tersebut, gambar swafoto yang diambil oleh seorang lagi suspek bersama mangsa yang dipukul turut dikongsi oleh pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI