BAGAN SERAI – Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan diminta untuk menarik semula surat pekeliling yang melarang pesawah di Perak menjual padi ke negeri lain.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pekeliling bertarikh 20 Jun lalu boleh memberi kesan dan merugikan pesawah.
“Tindakan itu akan menyebabkan pengilang swasta membeli padi dengan harga yang murah dan mengenakan kadar potongan yang tinggi. Mereka itu (pengilang) pasti akan mengambil kesempatan ke atas pesawah-pesawah di Perak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 45 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Serai di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.
Menurutnya, sekiranya larangan penjualan itu diteruskan ia akan menyebabkan pesawah di Perak mengalami kerugian.
Tambah Sham, pihaknya akan berjumpa dengan Bahagian Kawal Selia dalam masa yang terdekat supaya menarik kembali pekeliling larangan itu.
Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Zamri Yaakob berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sekiranya masalah itu tidak diselesaikan dengan sebaiknya. – KOSMO! ONLINE