Oleh AZIZAN HASHIM
KETUA jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mendedahkan aksi dengan format baharu iaitu kalah mati merupakan perlawanan berisiko tinggi dan peluang amat terbuka untuk semua pasukan pada saingan Piala Malaysia kali ini.
Menurut Durakovic, pasukan yang bertanding tidak boleh melakukan sebarang kesilapan sekiranya mahu melangkah jauh dan beliau turut mengingatkan para pemainnya tidak mengambil mudah aksi menentang Kelantan United di Stadium Perak, Ipoh malam ini.
“Peluang terbuka untuk semua dan risiko juga tinggi kerana jika melakukan satu atau dua kesilapan akan menyebabkan lawan menghukum kita.
“Justeru, tumpuan penuh perlu ada pada saingan Piala Malaysia agar pasukan tidak menerima nasib malang sekali gus tersingkir daripada kejohanan itu,” kata Durakovic semalam.
Dalam pada itu. Perak dijangka beraksi tanpa khidmat Guilherme De Paula, Chanthacheary Bin dan Hafiz Ramdan pada pertemuan menentang Kelantan United malam ini.
Disebabkan kecederaan beberapa pemain tonggak utama The Bos Gaurus, Durakovic dilihat berada dalam dilema untuk mengisi kekosongan tersebut bagi membentuk kesebelasan utama yang mantap.
“Tidak dinafikan, masalah kecederaan adalah lumrah dalam bola sepak. Tidak ada apa yang mamu kamu lakukan, namun perjuangan tetap diteruskan dengan tenaga pemain yang ada,” jelas Durakovic.