OSLO – Norway kembali ke landasan kemenangan selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Cyprus pada aksi Kumpulan A kelayakan Euro 2024 yang berlangsung di Stadium Ullevaal awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, penyerang, Erling Haaland kembali menemui sentuhan gol dengan melakukan dua jaringan sementara satu lagi gol dijaringkan Ola Solbakken, manakala Cyprus menjaringkan gol menerusi Grigoris Kastanos.
Jurulatih Norway, Stale Solbakken berkata, mereka pada awalnya turun dengan motivasi cukup rendah memandangkan mereka tewas 1-2 kepada Scotland pada perlawanan yang berlangsung Ahad lalu.
“Saya tidak pernah mengalami pengalaman seperti ini, motivasi kami berada di tahap paling rendah sebelum perlawanan bermula. Sebagai jurulatih, saya perlu kuatkan semangat dan beri motivasi kepada semua pemain.
“Walaupun berdepan situasi sukar, namun kami tetap percaya Norway boleh menang ke atas Cyprus dan ia berjaya direalisasikan. Saya gembira kerana keyakinan sudah kembali dalam pasukan,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah, Martin Odegaard mahu melupakan kekalahan sebelum ini dan kembali mendapatkan semula semangat dalam usaha mereka melayakkan diri ke pusingan akhir Euro 2024.
“Perlawanan sebelum ini memang sangat mengecewakan, jadi kami perlu dapatkan semula keyakinan dan nampaknya ia sudah kembali. Ia berikan kami lebih motivasi serta kepercayaan kepada diri sendiri,” ujarnya. – AGENSI