REYKJAVIK – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo terus melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain pertama yang memiliki 200 kaps di pentas antarabangsa ketika bertemu Iceland pada aksi kelayakan Euro 2024 awal pagi semalam.
Lebih manis, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Laugardalsvollur itu, Ronaldo turut menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan Portugal di penghujung permainan.
Bukan setakat menjadi pemain yang memiliki kap antarabangsa paling banyak, malah jaringan tunggal pemain berusia 38 tahun itu turut menyaksikan Ronaldo meledak gol rekod dunia yang ke-123.
Pemain Al-Nassr itu menyuarakan rasa gembira selepas dia berjaya menjaringkan gol pada penampilan ke-200 selain menganggap ia sebagai antara detik paling manis dalam karier bola sepaknya.
“Bagi saya, ia satu pencapaian yang sukar dipercayai, saya fikir ia sangat menakjubkan. Sudah tentu dengan gol kemenangan, ia menjadikan penampilan kali ini lebih istimewa.
“Mungkin kami bermain kurang baik hari ini (semalam), tetapi begitulah bola sepak. Kami berjaya jaringkan gol kemenangan dan saya fikir Portugal memang layak untuk menang,” kata Ronaldo.
Untuk rekod, bekas pemain Real Madrid itu melakukan penampilan pertama bersama Portugal pada 2023 dan dia menjadi pemain tetap skuad Selecao selama 20 tahun berturut-turut dan khidmatnya masih digunakan sehingga kini. – AGENSI