KUALA LUMPUR – Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Empangan Air Itam dari 11 hingga 13 Jun lalu menunjukkan impak positif apabila hujan berjaya direkodkan pada hari pertama dan kedua operasinya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, manakala operasi sama yang dilakukan di Empangan Teluk Bahang tidak mendapat keputusan yang sama apabila tiada kejadian hujan yang direkodkan.
“OPA di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang telah berjaya menghasilkan hujan dan meningkatkan kapasiti air di Empangan Air Itam kepada 49.9 peratus, Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan air di kawasan titik panas mencukupi sepanjang musim Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir pada September ini.
“Namun orang ramai tetap dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan menjaga serta peka terhadap persekitaran,” katanya Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hujan yang direkodkan sebanyak 59.0mm berhampiran Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam (23.0mm) pada pagi 14 Jun dan kapasiti kedua-dua empangan itu meningkat kepada 49.9 peratus.
Terdahulu, akhbar melaporkan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia dengan kerjasama Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) melakukan OPA di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang, 12 Jun lalu.
Operasi tersebut dilakukan di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang dengan menggunakan pesawat C-130 Hercules. -KOSMO! ONLINE.