BANGKOK, Thailand – Seorang bapa berusia 73 tahun membunuh anak lelakinya yang berumur 46 tahun di sebuah pondok di tengah sawah di wilayah Chaiyaphum, timur laut Thailand, lapor portal berita Thaiger semalam.
Anak lelaki itu dibebaskan dari penjara tiga hari sebelumnya dan mengugut mahu membunuh bapanya.
Selepas membunuh, warga emas itu melarikan diri sebelum menyerah diri di sebuah balai polis di wilayah Khon Kaen.
Mayat mangsa ditemui berhampiran sebuah pondok buluh. Bapanya memaklumkan anaknya baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah dan pulang ke rumah sejak tiga hari lalu.
Sepanjang tempoh tiga hari, si anak tidak membantu melakukan kerja atau berhenti mengambil dadah.
Mangsa juga kerap bertengkar dengan bapanya, lapor portal berita KhaoSod.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila si anak bersemuka dengan bapanya dan mengugut untuk membunuh warga emas itu.
Semasa pertengkaran tersebut, lelaki tua itu mengambil cangkul dan memukul anaknya tiga kali dari belakang, menyebabkan si anak rebah dan tidak bergerak.
Bapanya kemudian mencampak cangkul itu ke dalam kolam di belakang pondok dan melarikan diri.
Polis masih belum mendakwa warga emas itu, tetapi Kod Jenayah Thailand menyatakan sesiapa yang didapati bersalah melakukan membunuh boleh dihukum mati atau penjara 15 hingga 20 tahun. – Agensi