BOSTON, Massachusetts – Pasukan penyelamat menggunakan sonar berjaya mengesan ‘bunyi bising bawah air’ dekat kawasan sebuah kapal selam membawa lima orang yang hilang semasa melakukan selaman untuk melihat bangkai kapal Titanic, kata Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) hari ini.
“Pesawat P-3 milik Kanada mengesan bunyi bising itu di kawasan pencarian. Justeru, sebuah kapal selam kawalan jauh dikerah untuk mengesan asal-usul bunyi tersebut,” kata Pengawal Pantai AS di akaun Twitter rasminya.
Terdahulu, pasukan penyelamat berharap ketibaan kapal selam khas dan pakar-pakar Tentera Laut AS dapat menambah baik usaha untuk menemui kapal selam pelancong yang hilang dekat bangkai kapal Titanic itu ketika bekalan oksigen pantas bekurangan.
Semua komunikasi dengan kapal selam sepanjang 6.5 meter itu terputus ketika ia menyelam pada Ahad lalu untuk melihat bangkai kapal Titanic yang berada hampir 4 kilometer di dasar Lautan Atlantik Utara.
Kapal selam dinamakan Titan itu membawa tiga penumpang termasuk seorang bilionair Britain bersama taikun perniagaan Pakistan serta anak lelakinya. Syarikat OceanGate Expeditions mengenakan caj AS$250,000 (RM1,162, 375) untuk satu tempat duduk di dalam kapal selam tersebut yang menyamai saiz sebuah lori.
Dalam perkembangan berkaitan, kapal dan pesawat Pasukan Pengawal Pantai AS serta Kanada mengadakan pencarian di zon seluas 19,683 kilometer persegi di tengah laut. Kapal selam itu menyelam di kawasan sekitar 644 kilometer di luar pantai Newfoundland, Kanada.
Seorang jurucakap Tentera Laut AS berkata, sebuah sistem khusus untuk mengangkat objek berat dari kedalaman ekstrem, peralatan dan kakitangan lain menyertai usaha menyelamat malam semalam.
Pentagon berkata, pihaknya mengerahkan pesawat C130 ketiga dan tiga pesawat C-17, manakala Institut Oseanografi Perancis mengumumkan bahawa sebuah robot bawah laut dan pakar-pakarnya akan tiba di lokasi kejadian semalam.
“Ini merupakan pencarian yang amat rumit, manakala pakatan pasukan penyelamat berusaha 24 jam untuk membawa semua aset dan kepakaran yang ada secepat mungkin,” kata Kapten Pengawal Pantai AS, Jamie Frederick kepada pemberita.
Kapal selam Titan terputus hubungan dengan permukaan kurang dua jam selepas menyelam.
Sementara itu, penulis AS yang pernah melawat bangkai Titanic dengan menaiki kapal selam sama pada tahun lalu, Mike Reiss berkata, pengalaman itu mengelirukan dan menakutkan. Tekanan pada kedalaman tersebut adalah 400 kali ganda lebih tinggi berbanding paras laut.
“Kompas kami tidak berfungsi dan kami bergerak seperti orang buta di dasar laut dengan kesedaran bahawa bangkai Titanic berada di luar sana,” kata Reiss. – AFP
Menurutnya, semua orang menyedari bahaya yang ada: “Anda menandatangani penepian sebelum menaiki kapal selam ini dan ia menyebut kematian sebanyak tiga kali pada muka surat pertama dokumen tersebut.” – AFP