PETALING JAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memuktamadkan perkara berkaitan pertambahan pelantikan syarikat pemeriksaan kenderaan, sebelum akhir tahun ini.
Timbalan Menteri, Datuk Hasbi Habibollah, berkata, MOT bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada masa ini sedang memuktamadkan semua peraturan, syarat-syarat, garis panduan dan lain-lain dokumen berkaitan.
“Ia akan ditetapkan kepada mana-mana pihak lain yang akan dipelawa untuk menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Semua itu dijangka akan dimuktamadkan selewat-lewatnya sebelum akhir tahun 2023, dan proses pelawaan kepada pihak yang berminat boleh dimulakan dalam penggal pertama tahun 2024.
“Proses penilaian pula dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan manakala proses pelantikan pula dijangka dapat dilaksanakan dalam penggal kedua tahun 2024 kelak,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai syarat-syarat kelulusan pertambahan pelantikan syarikat pemeriksaan kenderaan.
Menurutnya lagi, mana-mana pihak yang berjaya memenuhi semua syarat ditetapkan akan dipelawa dan dibenarkan beroperasi sebagai pusat pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi pihak JPJ.
“Syarat-syarat yang bakal ditetapkan adalah setara seperti mana ditetapkan kepada pihak Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Ia bagi memastikan wujudnya persekitaran perkhidmatan berdaya saing, adil dan mematuhi semua peraturan yang telah diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE