fbpx

Jerantut bandar rendah karbon menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZIHAN (dua dari kanan) menyaksikan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris (tengah) menanam pokok teduhan sempena program Hari Jerantut Rendah Karbon di Jerantut, Pahang hari ini.

JERANTUT – Bandar Jerantut yang yang dipilih dalam Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) di negeri ini disasarkan menjadi bandar rendah karbon menjelang 2030.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), Datuk Razihan Adzharuddin berkata, usaha itu bertepatan dengan usaha kerajaan negeri mencapai sasaran pengurangan gas rumah kaca.

“LCCF merupakan inisiatif baharu dengan sasaran untuk mempercepatkan transformasi bandar di negeri ini ke arah bandar karbon rendah menerusi pengukuran kadar pelepasan gas rumah hijau membabitkan lima elemen, iaitu tenaga, air, sisa, pengangkutan dan kehijauan atau penyerapan karbon.

“Sebagai sebuah entiti yang hampir dengan rakyat, MDJ akan memainkan peranan penting supaya menimbulkan kesedaran dan pembudayaan lestari, mengambilkira pandangan rakyat setempat dan melibatkan komuniti secara aktif dalam pembangunan yang mampan dan inklusif,” katanya pada program Hari Jerantut Rendah Karbon di sini hari ini.

Menurut Razihan, PBT disaran menetapkan hala tuju dan pendekatan masing-masing yang bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon bagi menyumbang kepada pengurangan impak perubahan iklim di negara ini.

Jelasnya, bandar rendah karbon merupakan asas bagi pembangunan bandar lestari apabila masyarakat menggunakan teknologi hijau dan mengeluarkan karbon yang rendah untuk mengurangkan kesan ke atas perubahan iklim.

Sementara itu Razihan berkata bandar rendah karbon menghasilkan persekitaran yang berkualiti dan mampan untuk generasi akan datang, manakala penduduk setempat memperoleh kesejahteraan menerusi persekitaran yang sihat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI