fbpx

Portal HibGlam jadi rujukan, siar berita hiburan berkualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARAH NURAINA (dua dari kiri) bersama rakan-rakan melayari platform laman sosial HibGlam di Jalan Hang Tuah, Melaka semalam. – SYAFEEQ AHMAD

PETALING JAYA – Para peminat dunia hiburan tanah air menyifatkan portal hiburan terbaharu, HibGlam sebagai dimensi baharu dalam dunia hiburan untuk memartabatkan dunia seni tanah air dan mengangkat ke­sungguhan anak-anak seni dalam mengharungi kehidupan penuh glamor.

Rata-rata yang ditemui menyatakan, portal yang merupakan produk terkini Media Mulia Sdn. Bhd. itu hadir tepat pada masanya bagi membolehkan peminat seni di negara ini mendapat maklumat terkini artis pujaan mereka.

Di Kuala Terengganu, seorang penjawat awam, Noor Azila Md Sani, 38, berkata, portal hiburan tersebut mampu pergi jauh untuk terus menyediakan bahan-bahan terkini yang sememangnya didambakan peminat dunia hiburan.

Katanya, ini kerana ia memberi kupasan yang lebih mendalam dan senang difahami berhubung sesuatu berita seni.

“Saya harap portal ini dapat memaparkan lebih banyak berita hiburan eksklusif terhadap artis kesayangan kami.

“Selain itu, ia dapat mendidik masyarakat lebih menghargai karya seni bermutu tidak sekadar berita picisan dan kontroversi semata-mata,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Seorang usahawan, Noorja Afeeza Amin, 39, pula mencadangkan HibGlam agar memberi liputan luas kepada artis yang turut terlibat dalam keusahawanan bagi memberi inspirasi kepada peminat mereka.

“Waktu ini, ramai golongan artis terlibat dalam membina jenama sendiri, mengusahakan restoran, produk kecantikan dan pelbagai perniagaan lain.

“Berita positif seperti ini pasti memberi impak yang baik kepada peminat terutama golongan remaja,” katanya.

NOOR AZILA (kiri) meluangkan masa membaca portal HibGlam bersama rakan sekerjanya pada waktu senggang di Kuala Terengganu semalam.

Di Sungai Petani, Kedah, seorang pencipta kandungan yang dikenali sebagai Ceo Bieziy, 34, berharap portal hiburan terbaharu itu menjadi platform terbaik untuk mereka mendapatkan berita yang sahih berkaitan perkembangan industri hiburan tempatan.

Katanya, ia boleh dijadikan sebagai sumber rujukan untuk mengetahui perkembangan semasa mengenai industri hiburan.

“Saya teruja apabila mendapat tahu bahawa HibGlam kini telah mengalami transisi da­ripada sisipan akhbar kepada portal digital kerana lebih mudah untuk diakses pada bila-bila masa.

“Bagi saya, kandungan berita di portal ini lebih sahih dengan tajuk yang tidak melampau dan memberikan berita mengenai artis dengan baik,” ujarnya.

CEO BIEZIY melayari portal HibGlam di Sungai Petani semalam

Di Melaka, seorang penuntut Kolej Profesional Mara Bandar Melaka, Farah Nuraina Wahida Mohd. Zaki, 20, berkata, dia tertarik dengan perkongsian berita bervisual HibGlam di platform Instagram yang lebih mudah untuk diakses.

“Senang apabila berita itu di­sampaikan menerusi video, kita dapat terus menontonnya tanpa perlu membuka pautan lain atau berdepan pelbagai jenis iklan di portal yang menganggu fokus pembacaan.

“Kami generasi Z mudah mengemas kini perkembangan hiburan, bukan sahaja mengenai gosip semata-mata, tetapi prestasi serta be­rita semasa industri,” katanya yang mengambil jurusan keusahawanan.

HibGlam asalnya adalah sisipan berita hiburan dalam akhbar Kosmo! kini telah mengorak langkah berkembang sebagai sebuah portal dan boleh dilayari di www.hibglam.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI