TANAH MERAH – Tindakan seorang kanak-kanak lelaki yang membuang angin tayar dua buah kereta ibu bapanya membawa padah apabila dia sesak nafas selepas diterajang oleh bapa tirinya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Padang Siam di sini pada Ahad lalu.
Mangsa yang berusia 12 tahun ditendang pada bahagian dada kira-kira pukul 7 pagi semasa datang meminta maaf selepas mengaku membuang angin tayar dua buah kereta di kawasan rumah mereka.
Ibu mangsa, Nik Norlelawati Nik Ghazali, 45, berkata, anak lelakinya itu mengaku kepada suaminya yang berusia 38 tahun bahawa dia membuang angin kedua-dua buah kereta kira-kira pukul 9 malam pada Sabtu lalu.
Menurutnya, anaknya itu bertindak sedemikian kerana tidak mahu ke sekolah kerana tidak boleh membawa gunting seperti yang diminta oleh guru.
“Dia beranggapan, sekiranya tayar kereta saya dan suami bocor, dia tidak perlu pergi ke sekolah pada hari itu. Dia kemudiannya rasa bersalah dan meminta maaf pada suami atas kesalahan tersebut pada waktu pagi sebelum ke sekolah.
“Suami saya berang dengan tindakan itu terus menendang bahagian dadanya sehingga dia terbaring dan menangis. Ketika itu, dia sudah mengadu mengalami sesak nafas,” katanya ketika dihubungi semalam.
Nik Norlelawati memberitahu, bimbang dengan keadaan itu, dia terus membawa anaknya untuk rawatan di Hospital Tanah Merah di sini sebelum dibenarkan pulang selepas disahkan tidak mengalami kecederaan serius.
Menurutnya, dia juga sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini kira-kira pukul 8.56 malam pada Ahad lalu.
“Selepas mendapat tahu saya membuat laporan polis, suami tidak pulang ke rumah sehingga hari ini. Saya ada mencarinya, namun dia gagal dikesan.
“Saya amat bersyukur apabila anak lelaki tidak mengalami kecederaan yang serius ekoran daripada kejadian tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Pihak polis masih mengesan suspek,” jelasnya setakat pukul 3 petang semalam. -KOSMO!