SHAH ALAM – Penggunaan aplikasi TikTok akan dioptimumkan bagi menyebarkan dakwah kepentingan membayar zakat khususnya kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Ketua Divisyen Dakwah dan Syariah LZS, Salehuddin Abu Samah berkata, umat Islam perlu diberikan pendedahan lebih mudah dan meluas bahawa zakat bukan sahaja dibayar semasa bulan Ramadan semata-mata.
“Umat Islam perlu difahamkan bahawa kita ada zakat lain seperti saham, pendapatan selain zakat fitrah.
“Lebih-lebih lagi dalam zaman media sosial ini dan aplikasi TikTok mempunyai kuasa berimpak tular,” katanya pada sidang akhbar program Muzakarah Zakat Nusantara 2023 di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun menjelaskan setiap penerangan dibuat menerusi aplikasi tersebut harus berpandukan fatwa agar lebih jelas dan difahami umat Islam di Selangor khasnya.
“Dakwah melalui ceramah di surau tetap akan diteruskan tetapi dakwah melibatkan media sosial ini patut dibangkitkan dan dibangunkan seluasnya.
“Ini semua agar pemahaman zakat itu serap dalam seseorang individu untuk menunaikannya,” ujarnya.
Mengulas mengenai muzakarah tersebut, Salehuddin berkata, ia merupakan julung kali diadakan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selain melibatkan Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.
“Program tersebut adalah satu usaha murni gabungan ulama dan pemikir untuk menggerakkan perbincangan berkaitan fatwa untuk berdakwah dengan lebih canggih dalam usaha menyedarkan umat Islam di nusantara tentang kewajipan menunaikan zakat,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE