fbpx

Bekas mahasiswi sebabkan kematian bayi dalam tandas terlepas hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Izzati Adi (dua dari kiri) dikawal pegawai penjara di Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas bebas daripada hukuman penjara sembilan tahun kerana menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan. Foto oleh NORLIZAH ABAS/KOSMO!

PUTRAJAYA – Seorang bekas penuntut kolej di Bukit Kayu Hitam, Kedah, dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini selepas menjalani hukuman penjara sembilan tahun atas kesalahan menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkan dalam tandas kolej itu, enam tahun lalu.

Nur Izzati Adi, 26, terlepas hukuman mati setelah pihak pendakwaan menerima representasi yang dikemukakan oleh perayu agar pertuduhan yang membawa hukuman yang lebih rendah dikenakan terhadapnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail membebaskan wanita itu serta-merta selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan cadangan bahawa hukuman yang sesuai adalah penjara sembilan tahun.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara mensabitkan perayu mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan dan menghukumnya di bawah Seksyen 309B kanun sama.

Seksyen itu menyatakan: “Apabila seorang perempuan, dengan sesuatu perbuatan atau ketinggalan yang bersenggaja, menyebabkan kematian anaknya yang baharu lahir, akan tetapi pada waktu perbuatan atau ketinggalan itu ia belum cukup pulih dari akibat melahirkan anak dan oleh sebab itu ketenteraman fikirannya pada waktu itu terganggu.

“Maka ia adalah melakukan kesalahan membunuh anak walaupun mengikut keadaannya kesalahan itu terjumlah kepada kesalahan membunuh orang,”

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Hakim Hadhariah sebelum itu meminta jurubahasa mahkamah bertanyakan Nur Izzati sama ada perayu bersetuju dan menerima cadangan terhadap hukuman penjara tersebut dan dijawab wanita itu: “Setuju Yang Arif’,”

“Perayu disabitkan atas Seksyen 309A dan hukuman penjara sembilan tahun dari tarikh tangkap pada 30 Mac 2017. Saya beri arahan kepada pihak penjara agar membuka garinya serta-merta supaya perayu boleh berjalan keluar dari mahkamah dengan lapang dada,” ujar Hakim Hadhariah sambil dilihat Nur Izzati mengesat air matanya.

Selepas dibawa keluar dari kamar mahkamah oleh beberapa pegawai penjara, Nur Izzati yang menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena, Kedah dilihat berpelukan dengan ahli keluarga yang hadir mengikuti prosiding rayuan itu.

Pada 10 April 2017, Nur Izzati didakwa menyebabkan kematian seorang bayi dengan menekupnya dalam satu insiden di tandas perempuan aras tiga kolej itu pada pukul 5.20 petang, 30 Mac 2017.

Pada 14 Jun 2020, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Nur Izzati setelah mensabitkannya atas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan mengemukakan 20 saksi pendakwaan manakala Nur Izzati merupakan sesatunya saksi pembelaan memberi keterangan.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Mokhzani Faris Mokhtar mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif mewakili perayu.

Mohammed Mokhzani memaklumkan, pihaknya percaya peguam sudah berbincang dengan keluarga perayu dan bersetuju dengan tawaran pihak pendakwaan untuk mengurangkan pertuduhan.

Ketika ditemui wakil media di luar mahkamah, Amirul Ridzuan memberitahu, pihak pembelaan mengemukakan representasi pada 11 April lalu bagi pertimbangan agar pertuduhan dikaji dan dikurangkan kepada pertuduhan yang membawa hukuman yang lebih rendah.

“Oleh itu, pihak pendakwaan bersetuju terhadap separuh daripada yang kami pohon dan dicadangkan agar pertuduhan di bawah Seksyen 309A dan hukuman di bawah Seksyen 309B dan pihak-pihak bersetuju dengan hukuman penjara sembilan tahun,” ujarnya.

Keterangan saksi-saksi pendakwaan menyatakan, Nur Izzati yang ketika itu berusia 20 tahun mendaftar di kolej itu sebagai penuntut semester pertama ketika kandungannya berusia enam bulan dan keadaan itu tidak disedari oleh rakan-rakan asramanya.

Pada hari kejadian, Nur Izzati pulang dari kelas dalam keadaan letih dan mengadu sakit perut akibat ‘datang bulan’ dan kerap keluar masuk tandas dalam tempoh yang lama.

Selepas melahirkan anak dalam tandas tersebut, wanita itu berehat di bilik asrama sehingga bayi itu ditemukan oleh seorang penuntut yang menggunakan tandas yang sama.

Keterangan kes turut menyatakan, salah seorang penuntut bertindak mengeluarkan bayi itu daripada mangkuk tandas dan membalutnya menggunakan tudung sebelum meletakkannya di atas sinki tandas.

Pakar patologi yang memberi keterangan pada perbicaraan mengesahkan, bayi tersebut dilahirkan dalam keadaan masih hidup dan cukup sifat manakala ujian klinikal mengesahkan bayi itu darah daging perayu hasil hubungan seks dengan teman lelaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI