fbpx

Belanjawan 2021 zahirkan konsep prihatin rakyat – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin dan Tengku Zafrul sebelum pembentangan Belanjawan 2021, di Bangunan Parlimen.

PUTRAJAYA – Belanjawan 2021 adalah penzahiran konsep prihatin rakyat yang didokong teguh oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, biarpun negara berada dalam situasi yang sukar dan mencabar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan sama sekali.

Beliau berkata, kerajaan tekad untuk memastikan wabak Covid-19 ditangani dengan berkesann sekali gus menjamin matlamat kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta ketahanan ekonomi.

“Belanjawan 2021 ini juga akan meneruskan momentum yang telah dicapai menerusi pelaksanaan empat pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.

“Empat pakej rangsangan terdahulu adalah PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN berjumlah keseluruhan RM305 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, belanjawan kali ini digubal berdasarkan prinsip melindungi rakyat dan perniagaan serta membantu mereka untuk melonjak kembali menjamin masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari.

Muhyiddin berkata, melalui Belanjawan 2021, pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai keseluruhannya RM28 bilion telah disediakan oleh kerajaan terutamanya bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan rentan.

“Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang diperkenalkan pula dijangka memanfaatkan sejumlah 8.1 juta rakyat dengan peruntukan RM6.5 bilion,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan turut mengambil maklum kebimbangan rakyat tentang kelangsungan hidup mereka, terutamanya dari segi pekerjaan dan punca rezeki.

Justeru, katanya, kerajaan bertekad untuk mencapai sasaran 500,000 peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Sehubungan itu, kerajaan juga telah mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara (National Jobs Council).

“Majlis ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan akan menyelaraskan semua inisiatif kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.

Muhyiddin berkata, belanjawan ini juga mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan akan terus mendapat sokongan dan bantuan kerajaan.

“Pendekatan bersasar ini diambil kira dalam mengizinkan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi mereka yang telah hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas.

“Begitu juga dengan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Bersasar oleh sektor perbankan dari segi kelonggaran pembayaran kepada peminjam yang dikenal pasti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI