fbpx

Kendali kamera dari jarak jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGGUNA kini boleh mengambil gambar dari jarak jauh menggunakan aplikasi XApp yang dibangunkan oleh Fujifilm.

DUNIA fotografi dan teknologi sudah beralih ke fasa baharu yang mana pengendalian kamera pada masa kini bukan sahaja boleh dilakukan pada peranti tetapi juga aplikasi.

Dengan pembangunan aplikasi, beberapa fungsi kamera digital kini boleh dikendalikan dengan jarak jauh, sekali gus menjadikan tugas merakam gambar menjadi lebih mudah.

Memanfaatkan kelebihan teknologi dalam dunia fotografi, Fujifilm Malaysia melancarkan Fujifilm XApp (XApp) iaitu aplikasi yang boleh dipadankan dengan kamera digital Siri GFX atau X.

Menurut Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Kensuke Aragane, fungsi Aplikasi Kamera Jauh (Camera Remote) Fujifilm berupaya menghubungkan kamera digital berkemampuan jalur lebar (Wi-Fi) dengan telefon pintar untuk penangkapan jauh, pemindahan imej dan tontonan.

“Bagi langkah terbaharu, syarikat telah membangunkan XApp yang menampilkan fungsi dan prestasi dipertingkatkan untuk menambah lebih kemudahan kepada pengalaman fotografi.

“Kestabilan dan kelajuan komunikasi tanpa wayar telah dipertingkatkan untuk meningkatkan kebolehgunaan semasa rakaman foto.

“Pengguna juga boleh menggunakan XApp untuk menyemak paparan langsung pada telefon pintar atau tablet serta mengendalikan kamera dari jauh,“ katanya pada majlis pelancaran XApp di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Tambahnya, setelah foto diambil, aplikasi itu boleh digunakan untuk melihat imej yang dipindahkan.

Kensuke juga memaklumkan, XApp boleh merakam maklumat seperti kamera dan kanta yang digunakan serta lokasi penggambaran, meluaskan lagi tarikan pengalaman fotografi disediakan oleh GFX dan Siri X.

IMEJ dari kamera boleh dipindahkan ke telefon pintar dalam gaya diari foto.

Kongsinya, Fujifilm telah berusaha meluaskan daya tarikan fotografi dan meningkatkan kemudahan merakam dengan menawarkan kamera digital Siri GFX dan X, kanta Fujinon boleh tukar ganti serta aplikasi kamera jauh.

“Berbanding dengan kamera jauh sebelumnya, XApp menyediakan sistem tanpa wayar yang lebih stabil dan pantas untuk komunikasi serta memindahkan gambar dari kamera ke telefon pintar atau tablet.

“Semua operasi komunikasi boleh diselesaikan pada telefon pintar atau tablet dengan pengecualian gandingan Bluetooth awal antara kamera dan aplikasi.

“Ini memudahkan pengalaman mengambil gambar,“ ujarnya.

Jelasnya lagi, XApp membolehkan pengguna mengendalikan kamera GFX atau X Series dari jarak jauh iaitu menerusi telefon pintar yang disambungkan serta tablet semasa menyemak imej dalam mod Live View.

Aplikasi tersebut amat berguna dalam situasi yang memerlukan operasi jarak jauh seperti tangkapan kumpulan dan titik tetap.

“Menggunakan fungsi ‘Sandaran/Pulihkan’, pengguna boleh menyimpan tetapan kamera seperti Menu Penangkapan dan Menu Persediaan dalam aplikasi serta memohon tetapan kembali ke kamera.

“Tetapan kamera yang menjadi kegemaran untuk jenis subjek yang berbeza atau situasi penangkapan boleh diurus dalam aplikasi.

“Ini menjadikannya lebih pantas dan mudah untuk menukar tetapan, walaupun semasa penggambaran,“ kongsinya lagi.

Maklum Kensuke, tetapan kamera juga boleh disambungkan kepada beberapa kamera model sama melalui aplikasi, sekali gus memperkemas penangkapan berbilang kamera.

Fungsi baharu XApp termasuk Garis Masa dapat mengumpulkan dan memaparkan maklumat penangkapan seperti kamera dan kanta digunakan, bilangan imej diambil, lokasi penangkapan serta imej dipindahkan dalam gaya diari foto.

Aktiviti tersebut digabungkan secara automatik dan memaparkan maklumat penangkapan secara menyeluruh.

“Fungsi berkenaan membolehkan pengguna mengkaji aktiviti fotografi mereka semasa melihat foto.

“Dengan fungsi ini, ia menyokong cara baharu untuk menikmati foto dalam aplikasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI