PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Gabenor Bank Negara yang baharu, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour di pejabat beliau.
Jelas Perdana Menteri di laman Facebooknya sebentar tadi, Shaik bakal mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus yang akan menamatkan khidmat baktinya pada 30 Jun ini.
“Saya menzahirkan rasa keyakinan yang tinggi kepada beliau dalam meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil, dan ia pastinya akan ditingkatkan agar kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil.
“Saya utus penghargaan buat Tan Sri Nor Shamsiah atas jasa bakti beliau mengemudi Bank Negara Malaysia (BNM) terutamanya ketika negara melalui saat-saat sukar dan getir sepanjang tempoh wabak menyerang.
“Saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada Gabenor yang baharu dalam mendepani tantangan semasa lantas mencipta lonjakan yang baharu buat negara tercinta,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan Nor Shamsiah bakal menamatkan perkhidmatannya pada penghujung bulan ini dan digantikan dengan Shaik Abdul Rasheed. – KOSMO! ONLINE.