LONDON – Bukayo Saka mencetuskan sensasi ketika meledak hatrik untuk bantu England berkenduri gol dengan menewaskan Macedonia Utara 7-0 pada aksi Kumpulan C kelayakan Euro 2024 awal pagi semalam.
Pengendali The Three Lions, Gareth Southgate menghamburkan pujian kepada bintang Arsenal itu dan turut menyaksikan Harry Kane meledak dua gol diikuti satu jaringan daripada Marcus Rashford serta Kalvin Phillips.
“Dia alami masalah kecederaan sejak beberapa minggu, tetapi saya fikir apabila kamu berjaya mengharungi hari yang paling gemilang, ia beri peringatan kepada semua orang betapa berbaloinya penantian dilaluinya.
“Dia salah seorang pemain pasukan ini yang cukup merendah diri dan kekal bekerja keras, jadi sesuatu yang bagus untuk melihat dia gembira. Apa yang ditunjukkannya adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Keputusan itu membolehkan England mendahului carta Kumpulan C dengan mata maksimum daripada empat perlawanan, jauh meninggalkan Ukraine di tempat kedua dengan hanya mengutip enam mata.
Southgate juga tidak menolak jika ada yang mengatakan Saka sudah berstatus elit dan menegaskan pemain itu berhak untuk jadi bintang sensasi pasukan. – AGENSI