KUALA TERENGGANU – Kerajaan masih tidak berpuas hati dengan sambutan individu bekerja sendiri terhadap caruman sukarela d bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang sudah diperkenal sejak enam tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, setakat ini, hanya 21.9 peratus daripada 2.89 juta individu tempatan yang bekerja sendiri dilindungi SKSPS.
“Seramai 634,215 orang yang bekerja sendiri mencarum SKSPS dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak skim tersebut diperkenal pada 1 Jun 2017.
“Saya merasa masih ramai belum tahu dengan kepentingan serta faedah dan perlindungan yang bakal diterima sekiranya mencarum,” katanya selepas meninjau Pusat Rehabilitasi Perkeso Kuala Terengganu di sini hari ini.
SKSPS melindungi golongan bekerja sendiri dalam 20 sektor pekerjaan seperti pertanian, kesenian, perhutanan, perikanan, makanan, pembinaan, pembuatan, pemprosesan data, pengangkutan penumpang dan penghantaran barangan dan makanan.
Sivakumar tidak menafikan masih ramai beranggapan skim-skim di bawah Perkeso terbabit hanya layak kepada pekerja yang mempunyai majikan.
Tambah beliau, ramai juga tidak mahu mencarum kerana merasakan bencana di tempat kerja tidak akan menimpa mereka.
“Sehubungan itu, saya minta agar Perkeso
memperhebatkan lagi kempen promosi kesedaran berhubung skim ini agar sampai menyeluruh ke semua golongan sasaran.
“Sebenarnya kadar caruman skim ini adalah antara terendah di pasaran dan ia mampu dibayar,” katanya. – KOSMO! ONLINE