PENDANG – Kedegilan seorang lelaki mematuhi arahan polis supaya berhenti untuk diperiksa membawa padah apabila kereta dipandunya terjunam ke dalam tali air di Kampung Alor Besar, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu turut menyebabkan beberapa anggota polis terjun ke dalam tali air bagi membantu mengeluarkan suspek dari keretanya.
Katanya, kelibat suspek mula dikesan di tepi jalan Kampung Batu Menunggul, di sini ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang menjalankan Ops Tapis Khas Kontinjen Kedah 2.0.
“Suspek dilihat memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan. Susulan itu, sepasukan polis menghampiri kenderaan tersebut sebelum pemandunya bertindak memecut ke arah jalan besar menuju Kobah.
“Polis bertindak mengejar kereta tersebut sehingga memasuki kawasan mini tar di Kampung Alor Besar. Setibanya di simpang tiga mini tar, kereta suspek hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke dalam tali air,” katanya di sini hari ini.
Melihat keadaan itu katanya, anggota polis yang mengejar suspek segera terjun ke dalam tali air dan membawanya keluar dari kenderaan untuk dibawa ke tebing.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek berusia lingkungan 30-an tidak menemui sebarang barang yang menyalahi undang-undang dan dia juga tidak mengalami kecederaan.
“Suspek kemudian dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut, semakan mendapati suspek merupakan seorang pengedar dadah yang aktif di Pendang dengan gelaran nama ‘Diuh’,” ujarnya.
Tambahnya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985. – KOSMO! ONLINE