KUALA LUMPUR – Trauma berdepan insiden mikrofon tidak berfungsi ketika Anugerah Juara Lagu 1991 (AJL6) membuatkan vokalis Damasutra, Baggio sentiasa menyediakan diri berdepan masalah teknikal ketika persembahan langsung.
Pemilik nama sebenar Bahagia Daharun itu berkata, dalam situasi di luar kawalan sebegitu pengalaman menjayakan persembahan karnival banyak membantu menutup kekurangan.
“Saya memang tak pernah lupakan peristiwa ketika malam kemuncak Juara Lagu yang berlaku 32 tahun lalu tatkala Damasutra membawakan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi.
“Bayangkan, empat baris pertama nyanyian saya tidak kedengaran berikutan mikrofon yang tidak berfungsi, tetapi pengalaman mematangkan untuk saya tetap meneruskan aksi.
“Memang trauma kerana julung kali buat di pentas langsung sebesar itu berlaku kesilapan teknikal,” katanya di sidang media Konsert Anniversari ke-33 Damasutra ‘The Journey’, di sini, semalam.
Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Oktober depan, persembahan mega tersebut adalah bersempena tiga dekad penubuhan band terbabit.
Majlis sama turut memperkenalkan pemain gitar baharu menggantikan Allahyarham Alok, Rizal Wahab, selain kumpulan undangan bagi segmen idola, Kristal.
Menurut Baggio lagi, Konsert Anniversari ke-33 Damasutra ‘The Journey’ juga membuktikan Damasutra terus relevan di tengah kebanjiran ramai band pelapis.
Katanya, sudah tentu malam penuh nostalgia itu bakal menyajikan rangkaian koleksi lagu hits mereka termasuk Sufi, Antara Sutra & Bulan serta Sembunyi.
“Sepanjang tempoh dua jam beraksi, penonton bakal dihiburkan dengan katalog dendangan popular kami daripada album Antara Sutra Dan Bulan, Asyik, Kurnia serta Penawar pada 1996,” katanya.
Selain Baggio dan Rizal, tunjang utama kumpulan yang ditubuhkan sejak akhir 1980-an itu adalah Amran yang juga pengasas merangkap gitaris serta pemain dram, Assu.
Sementara itu, Ultimate Media Resources selaku penganjur juga tidak sabar membawa Damasutra selaku band otai beraksi di pentas Zepp KL sekaligus memeriahkan industri muzik tanah air.
Harga tiket bagi menyaksikan konsert adalah Rock Zon adalah RM188 (berdiri), Gold RM350 (duduk/Meet & Greet/t-Shirt), manakala Silver RM258 (duduk/merchandise).
Pada masa sama, Ultimate Media Resources ini turut menawarkan tempat duduk bagi VIP box yang berharga RM3,000.
Tiket boleh dibeli menerusi laman www.ubertickets.my yang akan dibuka bermula semalam. – KOSMO! ONLINE