SHAH ALAM – Pelakon Hafidz Roshdi tetap mengambil pendekatan membatukan diri daripada mengeluarkan komen berhubung kehadirannya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, pagi tadi.
Aktor berusia 29 tahun yang mengenakan sut kelabu bersama songkok itu tiba di mahkamah bersendirian pukul 10.50 pagi.
Begitupun, kelihatan ibunya, Haniza Ibrahim lebih dulu berada di perkarangan mahkamah menunggu kedatangannya.
Namun, seperti Hafidz, wanita yang juga seorang guru itu lebih selesa mendiamkan diri apabila enggan menjawab pertanyaan wakil media.
Hari ini, pelakon tersebut dan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri menghadiri sebutan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah.
Aktor itu diwakili peguam, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff, manakala Shudaha, 29, pula bersama Nurfarhana Abd. Manaf selaku peguamnya.
Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.
Pada 9 Mei lalu, peguam Syarie yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan wujud percanggahan antara anak guamnya dengan defendan yang mendakwa ada satu lagi lafaz cerai yang berlaku pada Januari lalu.
Hafidz mendirikan rumah tanggadengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 6 dan Umar, 2. – KOSMO! ONLINE