fbpx

Rampas 18 tan gelatin Pakistan lebih RM600,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bungkusan gelatin yang dirampas Maqis Selangor di Pelabuhan Utara pada Jumaat lalu.

KLANG – Sejumlah 18 tan gelatin dari Pakistan bernilai RM635,383.33 dirampas selepas tidak mematuhi syarat rawatan dalam permit import di Pelabuhan Utara, baru-baru ini.

Rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kira-kira pukul 11.30 pagi, Jumaat lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd. Sobri Md. Hashim berkata, semakan mendapati kontena berisi gelatin itu tiba di pelabuhan tersebut pada 26 Mei lalu.

Katanya, pemeriksaan mendapati gelatin itu diimport masuk oleh sebuah syarikat pembuatan makanan yang beroperasi sekitar lembah klang.

“Hasil pemeriksaan lanjut pada kontena itu menemui 18 tan gelatin dari Pakistan yang dianggarkan RM635,383.33.

“Bagaimanapun, didapati ia dibawa masuk dengan tidak mengikut syarat rawatan yang ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan di dalam permit import,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gelatin kebiasaannya digunakan bagi mempelbagaikan produk sama ada sebagai bahan ramuan makanan dalam industri pemprosesan makanan.

Jelas Mohd. Sobri, ini merupakan kesalahan pertama syarikat tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (2) akta yang sama.

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI