RIJEKA – Meskipun mencatat kemenangan 2-1 ke atas Rijeka pada aksi Liga Europa di Stadium HNK Rijeka awal pagi semalam, namun jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso masih belum berpuas hati.
Legenda bola sepak Itali itu menegaskan, beliau tidak dapat mengawal perasaan marahnya pada perlawanan tersebut selepas menyaksikan aksi longlai yang ditampilkan pemainnya.
Skuad The Partinopei itu dianggap bertuah untuk meraih tiga mata pada perlawanan berkenaan memandangkan perlu bergantung kepada gol sendiri yang dijaringkan bek kiri Rijeka, Filip Braut.
“Saya tahu perlawanan ini akan menjadi sukar kerana Rijeka mengamalkan aksi bertahan serta serangan balas pantas. Bagaimanapun, kami agak terkejut kerana mereka mampu menguasai perlawanan.
“Selepas waktu rehat, kami bermain lebih baik tetapi saya tidak boleh terima apabila pemain-pemain lakukan kesilapan yang tidak sepatutnya. Saya sangat marah ketika berada dalam bilik persalinan,” luah Gattuso.
Bekas pemain AC Milan itu juga percaya mereka mungkin tewas pada perlawanan tersebut sekiranya semua pemain tidak meningkatkan kualiti permainan di separuh masa kedua.
“Kami sentiasa berdepan masalah untuk mengekalkan rentak permainan. Sekiranya kami tidak mengubah permainan pada separuh masa kedua, mungkin kami akan pulang tanpa sebarang mata,” katanya. – AGENSI