KELETAH comel penyanyi kumpulan Oh My Girl, Seunghee mencuri hati peminat apabila dia secara bersahaja melarang mereka daripada mengundi kumpulannya.
Oh My Girl tersenarai dalam tiga kategori untuk 2020 Mnet Asian Music Awards (MAMA2020) iaitu Artis Terbaik Sepanjang Tahun, Lagu Terbaik Sepanjang Tahun dan Kumpulan Wanita Terbaik.
Perkara berkenaan dimaklumkan kepada Seunghee oleh peminat ketika penyanyi itu muncul dalam ruangan perbualan sebuah komuniti peminat online.
Seunghee pada awalnya terkejut kerana kumpulannya berjaya tercalon untuk tiga kategori. Bagaimanapun dia kemudiannya menasihatkan peminat supaya tidak mengundi Oh My Girl.
Alasannya, dia enggan peminat menghabiskan wang semata-mata untuk mengundi mereka.
“Adakah undian itu memerlukan wang? Jika ya, tolong jangan undi kami,” tulisnya seperti memetik laporan Insight.
Komen tersebut kemudian mendapat pujian ramai kerana penyanyi itu mengambil berat tentang peminat.
Biarpun dilarang Seunghee, peminat masih boleh membuat undian maksimum sebanyak sembilan kali sehari menerusi laman web seperti Naver termasuk Facebook dan Twitter.