fbpx

Empat remaja seronok buat aksi ‘Superman’ ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara empat remaja ditahan selepas dikesan membuat aksi Superman di Lebuh Raya AMJ, Melaka, semalam.

MELAKA – Empat remaja ditahan polis selepas dikesan membuat aksi ‘Superman’ ketika menunggang motosikal di Lebuh Raya Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Piatu di sini, semalam.

Kesemua remaja berusia 18 sehingga 22 tahun itu ditahan kira-kira 3.45 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota peronda lebuh raya polis (HMPV).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisionar Christopher Patit berkata, kesemua mereka dikesan membuat aksi berbahaya itu sejauh kira-kira 700 meter sehingga ke lampu isyarat Bukit Piatu.

“Perbuatan kumpulan itu dikesan ketika pasukan polis melakukan rondaan Op Motosikal di sekitar Lebuh AMJ, Bukit Piatu- Melaka Sentral pada pukul 2 pagi semalam.

“Seorang remaja berusia 18 tahun dilihat membuat aksi Superman dengan meniarap di atas motosikal jenis Yamaha Lagenda dan menunggang secara melulu bermula dari Lebuh AMJ, berhampiran Bachang sehingga ke Bukit Piatu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, beberapa minit kemudian sekumpulan lagi penunggang motosikal dikesan membuat aksi sama menggunakan motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Suspek lelaki berusia 18 hingga 22 tahun yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR juga melakukan aksi ‘superman’ dan gerakan zig zag antara kenderaan awam lain pada kelajuan tinggi.

“Kesemua mereka kemudian ditahan di tepi lebuh raya dan dibawa ke balai polis, manakala motosikal telah disita untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI