JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang boleh menarik nafas lega selepas Jawatankuasa Road To Gold (RTG) ‘akur’ dengan permintaan yang dibuatnya sebelum ini.
Perkara itu diumumkan sendiri Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam yang menjelaskan, keputusan itu dilihat perlu bagi memastikan Azizulhasni mendapat sokongan diperlukan dalam usaha menampilkan aksi terbaik.
“Kita komited terhadap permintaan dibuat Azizulhasni bagi memastikan pasukannya mendapat sokongan yang diperlukan. Bukan (latihan di Melbourne) tetapi ia lebih kepada permintaan domestik.
“Dia juga akan kekal di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Mesyuarat RTG di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
Sebelum ini, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ meluahkan rasa kecewa terhadap MSN kerana gagal menyediakan sistem sokongan lengkap selepas pusat latihan dipindahkan dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai sejak awal tahun ini.
Ujar atlet yang mesra disapa Jijoe itu turut menjelaskan, beberapa perbincangan sudah dibuat bersama MSN sejak setahun lalu, iaitu sebelum dia kembali ke Malaysia, namun masih belum ada sebarang jalan penyelesaian.
Pada masa sama, beliau juga mengesahkan, skuad hoki lelaki kebangsaan dibawa masuk ke dalam program RTG dalam persiapan mereka bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2023 yang turut menjadi pentas kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan sejumlah RM6.9 juta sudah diluluskan bagi program RTG selain menjelaskan, peruntukan tersebut mencukupi untuk menanggung keperluan atlet.
“Dana ini cukup untuk kelompok atlet (RTG) sedia ada tetapi kita harus tahu bahawa proses kelayakan masih berjalan. Jika ada pertambahan atlet, dana itu juga akan ditambah, namun buat masa ini, ianya memadai.
“Kita perlu memastikan duit yang dilabur itu dapat mendatangkan hasil kepada negara dengan komitmen atlet bagi mendapatkan pingat emas,” katanya yang juga Pengerusi Bersama RTG.