PERSIAPAN ala kadar tidak menghalang Papua New Guinea untuk memasang niat mengejutkan Malaysia pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Ketua jurulatihnya, Harrison Kamake berkata, kunjungan ke Terengganu bukan sekadar bercuti, sebaliknya mahu memberi cabaran kepada Harimau Malaya.
Beliau berkata, barisan pemain negara itu kini dalam motivasi terbaik selepas mencatat keputusan seri 2-2 dengan Singapura pada aksi Jumaat lalu.
“Pemain-pemain tidak sabar untuk turun menentang Malaysia malam esok (ini), namun nasib kami hanya akan ditentukan dengan bagaimana corak permainan bakal dipamerkan.
“Cabaran paling getir adalah mengumpul pemain terbaik kerana liga utama negara kami masih belum bermula,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan di Kuala Nerus semalam.
Kali terakhir pertemuan Papua New Guinea dan Malaysia adalah pada 2016, menyaksikan pasukan negara tunduk 0-2 pada Jun, sebelum menang 2-1 pada November tahun sama.
Kamake berkata, walaupun amat menghormati Malaysia, namun berharap skuad kendaliannya mampu membawa pulang keputusan positif.
Sementara itu, Raymond Gunemba yang pernah menumpaskan Harimau Malaya pada tujuh tahun lalu mengakui skuad kebangsaan sudah jauh berbeza.
Katanya, berdasarkan pemerhatiannya, skuad Kim Pan-gon kini memiliki ramai pemain berkualiti.
“Kami dibarisi pemain muda sambil dibantu beberapa tonggak berpengalaman dan teruja pertama kali berada di venue ini.
“Banyak peningkatan kedua-dua pasukan sejak bertemu pada 2016 dan saya menjangkakan aksi sukar daripada Malaysia yang membariskan pemain bertaraf antarabangsa,” katanya.