BANGKOK – Satu upacara pengebumian di wilayah Buriram, Thailand menjadi tumpuan orang ramai kerana menawarkan hadiah berupa 1.5 tan beras dan lima ekor lembu kepada tetamu yang bertuah, lapor laman berita Thaiger semalam.
Upacara pengebumian seorang wanita bernama Wun Chongchaingam, 92, itu berlangsung di Wat Pa Non-Somboon.
Ramai penduduk kampung menghadiri acara tersebut untuk memberi penghormatan dan mencuba nasib memenangi pelbagai hadiah dengan nilai mencecah 200,000 baht (RM26,570).
Empat ekor lembu dihadiahkan kepada individu miskin dari empat kampung, manakala seekor lembu lagi menjadi milik tetamu dalam acara cabutan bertuah. Tetamu sebelum itu mendapat nombor cabutan pada beg beras yang mereka terima.
Selain lembu, penganjur acara itu juga menyediakan lebih 700 kampit beras, masing-masing seberat 2 kilogram sebagai hadiah kepada tetamu yang hadir.
Jakkrit Chongchaingam, 57, yang merupakan anak bongsu Wun berkata, mendiang ibunya mengajar dia dan tujuh adik-beradiknya prinsip ‘lebih banyak memberi, lebih banyak menerima’.
Ketika Wun meninggal dunia, Jakkrit dan empat adik-beradiknya memutuskan untuk menganjurkan upacara pengebumian secara bukan konvensional dengan menjadikan beras dan lembu sebagai sedekah untuk menghormati didikan ibu mereka. – Agensi