PETALING JAYA – Nilai ringgit yang menyusut baru-baru ini disebabkan oleh prestasi mata wang itu sendiri yang lemah berbanding negara serantau termasuk penurunan nilai mata wang negara China dalam masa sama berlakunya pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) serta kadar hasil perbendaharaan AS yang jauh lebih tinggi selain terkesan daripada kelemahan umum dalam harga minyak.
Ketua Ekonomi OCBC, Selena Ling dan juga Pakar ekonomi bank yang sama, Lavana Venkateswaran dalam tinjauan ekonomi separuh kedua tahun 2023 berkata, ,bersandarkan kepada faktor-faktor tersebut, ringgit Malaysia mungkin akan terus mengalami tekanan dalam tempoh jangka pendek.
“Untuk mengukuhkan nilainya, beberapa faktor luaran perlu dipulihkan.
“Penyusutan RMB perlu diperlahankan atau dibalikkan yang mana data China seharusnya menunjukkan pertumbuhan (dengan harapan China menggiatkan semula perdagangan) dan/atau langkah Fed menghentikan kenaikan kadar (iaitu kitaran mengetatkan dasar berakhir atau peralihan kepada pemotongan kadar) untuk mengurangkan kekuatan dolar AS dan juga kadar hasil perbendaharaan AS (UST) turun ke paras lebih rendah.
“Kami meramalkan nilai ringgit berbanding dolar AS adalah 4.5 pada akhir 2023 dan 4.4 pada akhir 2024,” kata mereka.
Mengulas mengenai harga minyak, kedua-dua pakar ekonomi ini meramalkan minyak Brent pada harga purata minyak mentah adalah AS$90 (RM414.90) setong pada 2023 berbanding harga semasa AS$74 (RM341.14) setong.
“Kami meramalkan secara khusus bahawa harga minyak akan kembali pulih pada separuh kedua 2023 sambil stok minyak terkumpul mula berkurangan dan pasaran beralih kepada situasi defisit fizikal,” jelasnya.
Tambah kedua pakar ekonomi tersebut, harga minyak telah turun lebih separuh daripada paras tertinggi rekod tahun lepas, tetapi masih kekal melebihi purata sebelum pandemik.
Penurunan harga mencerminkan bekalan minyak makanan global yang bertambah baik dan pengurangan premium minyak sawit berbanding minyak lembut lain yang menjadi pesaingnya seperti minyak kacang soya dan biji sesawi.
Di samping itu, permintaan lebih rendah daripada India, sebuah negara pengimport penting, serta bekalan tinggi daripada Indonesia dan Malaysia, telah menambah kepada sentimen negatif bagi harga minyak sawit.
“Bagi tempoh selanjutnya tahun ini, kami meramalkan bekalan minyak sawit kembali normal sambil kekurangan buruh dalam sektor minyak kelapa sawit Malaysia mula reda. Walaupun begitu, risiko berkaitan El Nino perlu dipantau rapi,” jelas Selena dan juga Lavana. -KOSMO!ONLINE
.