PONTIAN – Meskipun terbeban dengan kenaikan pelbagai kos barangan dan bahan mentah, sepasang suami isteri di sini tekad menjalankan bisnes kecil-kecilan menjual nasi lemak pada harga RM1 sebungkus.
Zainal Abidin Kasimin, 28, dan isterinya, Nur Afiqah Zainuddin, 28, berkata, keputusan meletakkan harga murah menyebabkan dia mampu menjual 250 bungkus nasi lemak hanya dalam tempoh 30 minit setiap hari.
Zainal Abidin berkata, idea menjual nasi lemak RM1 dicetuskan oleh isterinya yang sebelum ini bekerja sebagai eksekutif di sebuah kilang di Kempas, namun memilih untuk berhenti selepas melahirkan anak kedua.
“Perniagaan nasi lemak ini dibuka seawal pukul 7 pagi memandangkan saya bekerja di Gelang Patah, Johor Bahru dan perlu bergerak pada pukul 7.30 pagi selepas jualan selesai.
“Saya akan susun atur gerai dahulu dan menghantar tempahan pelanggan dan isteri akan berada di gerai bagi melayan pelanggan yang datang membeli nasi lemak,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambah Zainal Abidin, pada kebiasaannya nasi lemak akan dihabis dijual pada pukul 7.30 pagi dan selewat-lewatnya pada pukul 8 pagi yang dibeli oleh orang ramai yang melalui Jalan Parit
Semerah yang terletak di hadapan Masjid Jamek Parit Semerah di sini.
Ujarnya, sebanyak empat hingga lima kilogram serta 20 hingga 25 biji telur digunakan bagi menyediakan sebanyak 250 bungkus nasi lemak setiap hari.